Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Selangor rekod majoriti pesakit pulih hari ini

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebahagian besar bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini dicatatkan di Selangor iaitu 1,142 kes, maklum Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurut agensi itu, Selangor merekodkan 32,763 kes sembuh sejak pandemik melanda negara.

Sebanyak 1,401 pesakit dilaporkan pulih daripada wabak itu di seluruh negara hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh 106,832 kes.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan berkata kes harian Covid-19 negeri ini menurun hampir separuh kepada 564 kes berbanding 1,086 kes semalam.

Bagaimanapun, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor kekal merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 23 peratus dari keseluruhan jangkitan dalam negara.

“Sebanyak 296 kes saringan kontak rapat, 222 kes melalui lain-lain saringan dan 46 kes daripada kluster sedia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata negeri itu turut merekodkan satu kematian baharu membabitkan lelaki warganegara berusia 87 tahun yang menghidap penyakit kronik.

Setakat ini, Selangor mencatatkan 38,997 kes Covid-19 dan 71 kematian.

 


Pengarang :