Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sembilan kluster baharu dikesan, lima babitkan tempat kerja

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sembilan lagi kluster baharu hari ini dengan lima daripadanya adalah kluster tempat kerja, menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh Malaysia kini sebanyak 532 dengan kluster aktif yang dipantau ialah 232.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tempat kerja itu dikesan melalui saringan bersasar di tempat kerja manakala kluster lain dikesan melalui saringan individu bergejala.

Kluster tempat kerja terbabit ialah kluster Tapak Bina Perdana Avenue di Petaling, Selangor; kluster Osmo Jaya di Hulu Langat, Selangor; kluster Belati di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian; Kluster Wawasan Gading di Batu Pahat, Johor serta kluster Rengit Sentral di Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru.

“Kes-Kes dalam kluster Tapak Bina Perdana Avenue dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 30 Dis 2020 hasil saringan bersasar yang dilakukan ke atas pekerja sebuah tapak binaan dan sehingga 3 Jan 2021, sejumlah 783 individu telah disaring dengan 202 kes dikesan positif,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Beliau berkata Kluster Osmo Jaya mencatatkan 46 kes dikesan positif Covid-19 diikuti kluster Belati (44 kes), kluster Wawasan Gading (13) dan kluster Rengit Sentral (10).

Bagi empat kluster baharu yang lain ialah kluster Lintas Seraya di Kota Kinabalu dan Penampang, Sabah yang merekodkan 16 kes positif Covid-19, kluster Manik di Kuala Krai, Kelantan dan Dungun, Terengganu (22 kes), kluster Paloh Tumpat di Kelantan (15 kes) dan kluster Stutong di Kuching, Sarawak (5 kes).

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 59 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini dengan yang mencatatkan kes baharu tertinggi ialah kluster Kebun Baru (89 kes) diikuti kluster Beringin (82), kluster Penjara Jalan Harapan (56) dan kluster Sungai Putus (56).

Jumlah kluster yang telah tamat pula ialah sebanyak 300 termasuk enam yang tamat hari ini iaitu kluster Sungai Cincin, kluster Tempasuk, kluster Jalan Tuaran, kluster Gangsa, kluster Plaza dan kluster Teluk.

– BERNAMA


Pengarang :