Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand perluas kesan kes aktif kekang jangkitan dalam komuniti

BANGKOK, 18 JAN: Thailand kini meningkatkan pengesanan kes aktif di wilayah yang diletakkan di bawah kawalan tinggi di negara itu bagi menghentikan penularan Covid-19 dalam komuniti.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Dr Apisamai Srirangsan berkata Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) telah memperluaskan langkah pengesanan kes aktif bagi Covid-19 di Bangkok dan 27 wilayah yang merekodkan lebih 50 kes dalam penularan terkini.

“Kami berharap langkah pengesanan kes aktif akan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam komuniti terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Apisamai juga berkata pihak berkuasa yang berkaitan akan meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan darat selepas timbul kebimbangan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara jiran termasuk Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri telah menggesa gabenor wilayah di sepanjang sempadan meningkatkan pengawasan bagi mencegah kemasukan pekerja migran secara haram.

Media tempatan melaporkan bahawa peningkatan kes Covid-19 di negara jiran termasuk Malaysia dan Myanmar boleh menyebabkan rakyat Thailand serta pekerja asing melarikan diri dari negara terbabit melalui sempadan Thailand.

Pada Ahad, pihak berkuasa menahan lapan rakyat Myanmar kerana menyusup masuk ke Thailand dari Kedah melalui pusat pemeriksaan di Sadao, Songkhla untuk kembali ke negara asal mereka.

Sementara itu, Thailand telah mencatatkan sejumlah 369 kes baharu Covid-19 dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara itu setakat ini ialah 12,423 kes dengan 70 kematian.

Daripada jumlah kes baharu itu, Apisamai berkata 357 adalah jangkitan tempatan, termasuk 275 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dengan 82 kes mempunyai kaitan dengan kunjungan ke kawasan berisiko tinggi, dan 12 kes import.

“Sehingga kini, sejumlah 12,423 kes Covid-19 dilaporkan di negara ini dengan 10,134 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 3,982 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dan 2,289 mereka yang kembali dari luar negara.

“Setakat ini, sejumlah 3,147 pesakit masih dirawat di hospital,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :