Pekerja warga asing berdiri di hadapan pasar yang ditutup ketika penularan wabak Covid-19 di Samut Sakhon, Thailand pada 20 Disember 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand rekod satu lagi kematian, 198 kes baharu

BANGKOK, 24 JAN: Thailand merekodkan 198 kes baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 3,500 dengan 73 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 198 kes baharu itu, 191 adalah penularan tempatan, termasuk 118 yang melibatkan mereka yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi manakala 73 dikesan positif melalui pengesanan kes aktif.

Beliau berkata, tujuh kes diimport termasuk dua kes – seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand – yang memasuki negara itu dari Malaysia melalui sempadan selatannya.

“Kes kematian tunggal itu melibatkan wanita warga Thailand berusia 73 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 dalam keluarganya. Beliau didapati positif pada 9 Januari. Wanita yang kesihatannya merosot itu telah meninggal pada Sabtu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Wabak terbaharu di Thailand bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di selatan Bangkok sejak pertengahan Disember lepas dan hingga kini telah mengakibatkan 9,263 kes dan 12 kematian.

Sementara itu, Thailand akan membenarkan sektor swasta memperoleh vaksin Covid-19, namun perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) negara itu.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha telah memberi lampu hijau kepada syarikat swasta untuk mengimport vaksin Covid-19.

“Pihak FDA akan menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum membenarkan syarikat swasta memvaksinasi orang ramai,” katanya sebagaimana dipetik dari The Nation English.

Pada Khamis, FDA Thailand telah meluluskan penggunaan kecemasan penggunaan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan University of Oxford dan kumpulan pertama sebanyak 50,000 dos vaksin berkenaan, dijangka tiba pada Februari.

Sehingga kini, Thailand turut memesan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 dan dua juta dos lagi dari Sinovac Biotech kerana ia merancang untuk memvaksinasi 50 peratus penduduknya pada akhir 2021.

– BERNAMA


Pengarang :