Foto yang diambil pada 7 Oktober 2020 menunjukkan jarum suntik pada ilustrasi Covid-19 di Toulouse, barat daya Perancis. Foto AFP
SELANGOR

Covid-19: Tiga kluster baharu babit tempat kerja di Selangor

SHAH ALAM, 27 JAN: Kes positif Covid-19 di Selangor menurun kepada tiga angka selepas mencatatkan 822 kes hari ini termasuk tiga jangkitan import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 137 kes melibatkan kluster sedia ada termasuk 67 daripada tiga kluster baharu iaitu kluster Jalan Mutiara, Tapak Bina Tanjung dan Persiaran Perkilangan.

“Sebanyak 502 jangkitan dikesan melalui saringan kontak rapat manakala 179 kes daripada lain-lain saringan.

“Terdapat pertambahan tiga kematian melibatkan warga emas. Semua disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Shah Alam dan Sungai Buloh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berkenaan kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata semuanya merupakan jangkitan tempat kerja dengan 97 kes positif.

“Kluster Jalan Mutiara, Petaling dikesan hari ini melibatkan 32 pengawal keselamatan yang semuanya disahkan positif manakala kluster Tapak Bina Tanjung di Kuala Langat membabitkan 46 jangkitan selepas 1,252 pekerja binaan disaring.

“Kluster Persiaran Perkilangan dikesan di Petaling dan Klang bermula 18 Januari lalu. Seramai 2,121 pekerja kilang disaring dan 19 disahkan positif,” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 3,680 kes baharu. Johor merekodkan kes tertinggi iaitu 1,069 kes diikuti Selangor (822 kes), Kuala Lumpur (698 kes) dan Sabah dengan 295 kes.


Pengarang :