Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud ketika sidang media kejayaan jabatan itu membanteras kegiatan pemalsuan dokumen imigresen di Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada 12 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dalang dalam buruan tumpas selepas markas palsu dokumen diserbu

PUTRAJAYA, 12 JAN: Kegiatan memalsukan dokumen Imigresen yang didalangi warga Bangladesh yang diburu sejak 2017, dengan menjadikan kawasan apartmen di Cheras, Selangor sebagai markas, tumpas semalam.

Dalam operasi kira-kira 10 pagi itu, anggota Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen menahan dalang yang berumur 32 tahun itu, dan seorang rakannya juga warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ berumur 25 tahun, di kawasan apartmen berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan pemalsuan dokumen didalangi suspek, pernah tumpas pada 2017 dan menyebabkan dia menghilangkan diri, sebelum kegiatan sama yang dikaitkan dengannya dikesan semula pada Mac 2020, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha mengesan suspek dilakukan secara berterusan sehingga penahanannya dalam operasi semalam, sekali gus menumpaskan kegiatan pemalsuan dokumen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata modus operandi yang digunakan suspek dalam kegiatan itu ialah menyewa dua buah apartmen, di mana satu dijadikan markas pemprosesan dokumen palsu dan satu lagi dijadikan tempat tinggal.

“Kedua-dua apartmen ini disewa secara berdekatan, bagi mengelirukan agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata suspek mendapatkan pelanggan dengan mengiklankan perkhidmatan haram itu melalui aplikasi WhatsApp atau menggunakan orang tengah yang bertindak mengutip pasport atau bayaran.

“Mereka ini dipercayai memperoleh pelanggan kira-kira 150 orang sehari dan pelanggan mereka rata-ratanya adalah warga Bangladesh,” katanya.

Bayaran yang dikenakan adalah berbeza di mana RM300 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, RM20 untuk sekeping iKad dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta RM150 untuk pasport palsu,” katanya.

Dalam operasi itu juga, Khairul Dzaimee berkata Imigresen merampas pelbagai peralatan pemalsuan dokumen, antaranya mesin pencetak, komputer, serta pelbagai jenis pasport dan wang tunai berjumlah RM8,300.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu dibawa ke Putrajaya untuk tujuan saringan Covid-19, bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, sebelum mereka dihantar ke depot untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :