BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Kaca Mata MB: Strategi ampuh banteras dadah

Bagi merealisasikan aspirasi Selangor Sejahtera Tanpa Dadah, Kerajaan Negeri menggariskan beberapa inisiatif berfokus yang digerakkan melalui agensi fokal iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan dilaksanakan secara kolektif oleh jentera agensi kerajaan yang terlibat seperti yang termaktub bawah Dasar Dadah Negara. Strategi dan inisiatif ini dinamakan sebagai ‘Selangor Memerangi Ancaman Dadah’ (SMAD).

Berikut adalah strategi di bawah SMAD:

– Pemerkasaan Jentera Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri

MMTD dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjadi asas kepada komitmen pemimpin tertinggi negeri dalam membanteras isu dadah. Dalam konteks kemajuan ekonomi, menyeimbangkan kesejahteraan sosial dalam komuniti juga memerlukan pelaburan besar bukan sekadar prihatin tetapi turut memperuntuk sejumlah wang untuk memastikan pengurusan pembanterasan dadah adalah terkawal.

Melalui MTMD, banyak keputusan dasar berkaitan strategi pembanterasan dadah dapat dicapai dengan menggerakkan semua agensi kerajaan melalui Pejabat Daerah dan Tanah, selain menggembeling usahasama agensi bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri, Penghulu Mukim dan pemimpin tempatan.

– Jawatankuasa Khas Total Enforcement Community Control (TECC)

Bagi menyelaraskan gerakan kerjasama itu, TECC dibentuk dalam kalangan jabatan dan agensi pelaksana yang dipengerusikan pegawai daerah bagi melaksanakan tindakan kolaboratif mengikut kluster jabatan/agensi di lokasi tumpuan dan kumpulan sasar yang dikenal pasti.

TECC mempunyai empat fasa iaitu pembersihan, intervensi, pengukuhan dan fasa pengekalan. Pada 2021, program TECC akan dilaksanakan membabitkan 13 kawasan berisiko tinggi ataupun ‘hotspot’ di negeri ini yang dikenal pasti AADK iaitu:

– Flat Desa Mentari (mukim Petaling)

– PPR Lembah Subang (mukim Damansara)

– Flat Sri Perantau (mukim Klang)

– Kampung Nakhoda (mukim Batu)

– Kampung Gombak Utara (mukim Setapak)

– Kajang Utama (mukim Kajang)

– Bandar Rinching (mukim Semenyih)

– Taman Impian Ehsan (Mukim Cheras)

– Mukim Ampang

– Mukim Pandan

– Kampung Seri Jugra (mukim Jugra)

– Kampung Sijangkang (mukim Teluk Panglima Garang)

– Kampung Bukit Changgang (mukim Tanjung 12).

Penubuhan ‘Task Force’ perlu dibentuk oleh pegawai daerah dengan memperkasa peranan dan fungsi penghulu mukim yang terlibat dan AADK daerah sebagai urus setia.

– Penetapan Indikator

Bagi memastikan setiap pelaksanaan program pembanterasan dadah dapat dilaksanakan dengan jayanya, beberapa indikator boleh dijadikan panduan untuk usaha mengurus isu penagihan dadah di kawasan panas agar berupaya mencapai status kawasan ‘hijau’ seperti berikut:

– Peningkatan kolaborasi agensi dan komuniti

– Peningkatan ilmu dan kemahiran Antidadah antara agensi dan NGO

– Engagement bersama Menteri Besar dan Ketua Jabatan

– Projek baharu yang berbentuk inovasi dan memenuhi keperluan berdasarkan lokaliti

– Penglibatan aktif media massa dalam mempublisitikan isu pencegahan dadah secara lebih menyeluruh

– Pemilikhakkan peranan dan pemahaman isu dadah supaya rakyat sendiri menjadi ‘frontliner’ terhadap pengawalan dadah

– Pelaksanaan program pembanterasan dadah bersifat holistik dan komprehensif

Tidak dinafikan dalam keadaan negara sedang membangun dan kepadatan penduduk di Selangor yang merupakan negeri maju, risiko pelencongan isu sosial termasuk penyalahgunaan dadah adalah tinggi.

Oleh itu, strategi yang komprehensif dengan mengadaptasi model Pencegahan Jenayah Melalui Persekitaran (Crime Prevention Through Environment) yang diperkenalkan oleh C. Ray Jeffery yang memfokuskan kepada pembaikan ekologi persekitaran bagi melahirkan perasaan selamat dalam kalangan komuniti.

Prinsip asas yang paling penting perlu dipenuhi seperti berikut:

– Mempunyai sasaran maksima iaitu capaian pelaksanaan program pembanterasan dadah mesti menyeluruh kepada kumpulan sasar yang tepat menggunakan teknik mengenal pasti profil

– Kawalan akses terhadap semua gerbang yang boleh membuka ruang kepada berlakunya faktor risiko jenayah, pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah melalui peranan agensi penguatkuasaan dan rondaan di kawasan ‘hotspot’

– Penandaaan kawasan melalui pemasangan pagar, papan tanda amaran, pemasangan kamera litar tertutup dan penggunaan dron untuk pemantauan di kawasan berisiko

Kemudahan ini yang disediakan oleh kerajaan boleh menjadikan komuniti lebih prihatin dan mengelakkan daripada berada di kawasan tersebut dan penjenayah tidak berminat untuk melakukan jenayah di kawasan yang telah ditandakan;

– Pengurusan dan Penyelenggaraan

Kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi akan ditambah baik infrastruktur dan kemudahan awam serta menggalakkan aktiviti sihat sebagai pengalihan daripada tingkah laku pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah.

Justeru itu, antara aktiviti yang dirancang akan memfokuskan kepada program pencegahan dan pemulihan dadah secara holistik bagi mewujudkan ekologi persekitaran yang menyokong rawatan dan pemulihan penagih serta meningkatkan faktor pelindung sebagai langkah pencegahan dadah melalui beberapa inisiatif seperti:

– Projek pertanian dan berasaskan ekonomi kepada klien yang sedang menerima rawatan dan pemulihan dan belia berisiko yang dikenalpasti

– Saringan ujian urin kepada penjawat awam dan swasta

– Latihan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) kepada majikan dan penyelia

– Melatih pemimpin komuniti bagi melaksanakan program berbentuk pencegahan di dalam komuniti,

– Kolaborasi bersama pihak universiti dan NGO berkaitan

– Melantik ikon antidadah dari kalangan atlet dan pempengaruh (influencer) berimej positif

– Memperhebatkan kempen antidadah melalui pelbagai platform media dan platform digital

Kejayaan sesebuah negara bukan hanya terletak pada kekayaan ekonomi semata-mata. Kestabilan ekonomi perlu di dukung oleh kesejahteraan sosial yang mesti bermula daripada keluarga.

Isu penyalahgunaan dan penagihan dadah akan terus menjadi musuh negara selagi ia tidak ditangani secara serius dan kolektif. Musuh dalam senyap ini telah berada dalam komuniti hampir 35 tahun dan tibalah masanya generasi muda mesti bangkit memeranginya. Jauhi dadah untuk hidup bahagia.


Pengarang :