Penjawat awam mengikuti siaran langsung perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 11 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Darurat: Penjawat awam perlu fokus, jadi pemudah cara rakyat – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Penjawat awam diminta kekal fokus kepada tugas dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sepanjang tempoh darurat ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya Cuepacs juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan dibuat kerajaan dan memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat Covid-19 ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :