Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada 12 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Darurat: Tiada sidang Parlimen, DUN dan pilihan raya – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana Menteri mengumumkan tiada sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata pelaksanaan darurat bukan perintah berkurung atau rampasan kuasa tentera, sebaliknya kerajaan awam terus berfungsi mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bebas bakal ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan PRU.

“PRU diadakan sebaik saja jawatankuasa bebas ini memperakui wabak sudah reda dan PRU selamat untuk diadakan.

“Masa itu terpulang kepada rakyat, pilihlah kerajaan yang layak dan boleh menjaga rakyat sekalian. Ini aku janji yang akan saya tunaikan,” katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

 

 


Pengarang :