Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada 12 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Darurat: Tindakan tegas jika ingkar peraturan bendung pandemik – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk membendung penularan Covid-19 dalam tempoh Proklamasi Darurat.

Perdana menteri berkata pindaan termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas individu yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat yang hari ini.

Beliau menyeru rakyat untuk terus mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.

“Mudah- mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif Covid-19 saban hari,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.


Pengarang :