Pusat cuci kereta Legacy Cleaner yang diusahakan Ahmad Humini di Kampung Jalan Kebun, Klang. Foto SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

Dibuang kerja selepas majikan ‘bungkus’, asnaf kini tauke

Penutupan syarikat percetakan yang tidak mampu bertahan akibat kegawatan ekonomi kesan penularan Covid-19 mengakibatkan Ahmad Humini Alias hilang kerja Mei lalu.

Dengan notis singkat, bapa lima anak meninggalkan pekerjaannya sebagai penghantar tempahan selepas lima tahun berkhidmat.

Sejak itu, keluarganya kerap kelaparan. Makan pun bercatu. Kadang kala, hanya mi segera mengalas perut anak-anak, berkongsi seorang sedikit.

Lebih buruk lagi, beliau sekeluarga terpaksa mengosongkan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Mereka terpaksa menumpang teduh di bilik rakannya.

Kerana terdesak, beliau menebalkan muka mengunjungi pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS), langkah yang tanpa disedarinya pada ketika itu menjadi titik peralihan dalam hidupnya.

Berbekal bantuan modal Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), Ahmad Humini, 41, kini pemilik pusat cuci kereta yang maju dan sedang berkira-kira mengembangkan lagi perniagaannya.

Ahmad Humini ketika ditemu bual Media Selangor, baru-baru ini. Foto SELANGORKINI

Anak kelaparan

Sebelum ini, beliau kerap memendam perasaan, bahkan mengalir air mata mengenangkan anak-anaknya kelaparan. Hatinya tersayat apabila anak bongsunya berusia lima tahun teringin menikmati makanan segera ayam goreng.

Namun, jangankan ayam goreng, saki baki makanan pun tiada buat dijamah. Wang di saku pula kehabisan. Ahmad Humini terpaksa meminta bantuan makanan dari LZS.

“Demi anak-anak saya tiada pilihan, tebalkan muka ke LZS dan berterus terang di rumah tiada apa nak makan, duit pun tidak ada.

“Mulanya pegawai itu beritahu LZS tidak beri duit, cuma makanan. Saya terima apa sahaja bantuan tetapi mungkin masa menunggu, tengok saya memang memerlukan, LZS beri RM150,” katanya dengan mata bergenang ketika berkongsi kisahnya dengan SelangorKini, baru-baru ini.

Modal niaga

Dalam kunjungan itu Ahmad Humini mendapat tahu LZS dengan kerjasama Teras dan SME Bank menyediakan bantuan modal kepada golongan asnaf yang mahu memulakan perniagaan.

Berbekal pengalaman bekerja sambilan pada hujung minggu di pusat cucian kereta, tempat keluarga Ahmad Humini sebelum ini menumpang bilik beberapa bulan, beliau berhasrat membuka perniagaan sama.

“Dengan bantuan teman rapat itu, kertas kerja saya diterima dan mendapat pembiayaan untuk memulakan perniagaan pusat mencuci kereta,” katanya.

Pembiayaan bernilai RM10,000 meliputi pembelian pelbagai mesin, deposit, sewa tapak, kos ubah suai dan kelengkapan lain.

Pada akhir Ogos, Ahmad Humini memulakan operasi pusat cucian kenderaan yang dinamakannya Legacy Cleaner di Kampung Jalan Kebun, Klang.

Ahmad Humini membersihkan kenderaan pelanggan di pusat cuci keretanya Legacy Cleaner. Foto SELANGORKINI

Perniagaannya bukan sekadar memberi perkhidmatan mencuci kereta dan motosikal tetapi berkonsep pusat hentian setempat merangkumi cucian permaidani rumah ke rumah, masjid dan pejabat.

Perkhidmatan lain termasuk cucian dalaman, mengilat, mencuci sofa dan permaidani kereta, rumah, pejabat dan masjid.

Dalam tiga bulan, hasil keuntungan Legacy Cleaner, beliau mampu memiliki 10 mesin dianggar bernilai RM20,000 antaranya alatan untuk mencuci permaidani, sofa rumah dan kereta, penyedut hampagas, penyembur air.

Pada masa ini, Legacy Cleaner yang menggaji tiga pekerja menerima kira-kira 30 kenderaan sehari selain perkhidmatan lain antaranya mengambil tempahan cuci permaidani rumah, pejabat dan masjid.

“Secara purata, kami mencuci 30 kereta dan dua cucian dalaman kereta disebabkan pusat cucian ini masih baharu dan sekarang pula musim hujan.

“Saya yakin dengan promosi yang betul, sasaran 50 kereta sehari boleh dicapai bila musim tengkujuh berakhir nanti,” katanya.

Ahmad Humini juga menyimpan cita-cita untuk membuka dua lagi cawangan dalam tempoh setahun sekali gus membuka peluang pekerjaan. Beliau mahu membantu mereka yang pernah senasib dengannya dahulu. Malah, beliau juga bercadang untuk melatih pekerjanya membuka perniagaan cucian kenderaan sendiri.


Pengarang :