Gambar terakhir Dr Ali Noor Hassan yang sempat diambil rakannya sebelum beliau didakwa jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih ketika bertugas.
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham nafi petugas kesihatan meninggal dunia akibat kepenatan

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia akibat kelesuan dalam bertugas ataupun kerana jangkitan Covid-19.

Sebaliknya beliau berkata ia disebabkan Allahyarham mempunyai penyakit lain, namun enggan mendedahkannya ketika ditanya.

“Beliau meninggal bukan akibat jangkitan Covid-19 atau kelesuan dalam bertugas,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Terdahulu Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menerusi laman Facebook semalam melaporkan Dr Ali jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Sementara itu dalam kenyataan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian Covid-19 Allahyarham adalah negatif dan memohon mana-mana pihak tidak membuat spekulasi bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham.

Menurutnya Allahyarham yang meninggal dunia lewat malam kelmarin (18 Jan) dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.

“Beliau seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau. Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor bin Hassan atas pemergian beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengajak semua memanjatkan doa buat Allahyarham agar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

-BERNAMA


Pengarang :