Individu pulang dari luar negara dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh kuarantin di rumah. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Dua individu pakai gelang merah jambu dikompaun di Putrajaya

PUTRAJAYA, 17 JAN: Dua lelaki antara lima individu pemakai gelang merah jambu dikenakan kompaun kerana ingkar tatacara oprasi piawai (SOP), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 13 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata individu pemakai gelang pink itu didapati ingkar arahan Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani kuarantin di rumah dan dikesan masing-masing berada di kawasan perumahan di Presint Diplomatik dan pusat komersial Ayer 8.

“Selain itu, satu kompaun dikeluarkan semalam (16 Jan) melibatkan penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program yang mengundang kehadiran orang ramai,” katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pematuhan SOP PKP di sekitar Putrajaya hari ini.

Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Putrajaya.

Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur tidak mendapat kelulusan polis untuk menganjurkan program selain penjarakan fizikal sukar dilaksanakan serta menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, satu kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kerana membawa melebihi kapasiti dan satu lagi kompaun dikenakan terhadap pekerja pasar raya borong kerana gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Mohd Fadzil berkata setakat hari ini, polis Putrajaya melakukan pemeriksaan terhadap 2,541 individu, 2,230 kenderaan dan 833 premis.

Justeru, beliau menasihati komuniti Putrajaya agar menangguh aktiviti yang melibatkan pengumpulan orang ramai dan sentiasa mematuhi SOP PKP serta tidak mengambil mudah dengan situasi penularan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

“Orang ramai kena serius, sekiranya tiada kawalan, penularan akan terus merebak. Kita harap semua pihak dapat terus patuh SOP sehingga penularan terkawal,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :