AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua kawasan di Hulu Selangor terima bekalan, enam lagi pulih esok

SHAH ALAM, 4 JAN: Bekalan air di Kampung Serigala dan Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Hulu Selangor pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata bagaimanapun enam kawasan lagi iaitu Kampung Bahom, Kampung Gesir Tengah, Kampung Orang Asli, Kampung Lalang, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi hanya dijangka pulih 7 pagi esok.

“Lori tangki masih digerakkan untuk membantu pengguna terjejas.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Semalam lapan kawasan di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek berikutan kenaikan air ke tahap kritikal di muka sauk selepas hujan berterusan.


Pengarang :