Halimey Abu Bakar bercakap kepada Media Selangor selepas meninjau kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Petaling Jaya pada 31 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Duduk PPR secara haram, KPKT digesa ambil tindakan tegas

PETALING JAYA, 31 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mendiami unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 secara haram.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata kediaman kosong kembali menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, termasuk rakyat tempatan dan warga asing yang enggan membayar sewa.

Halimey Abu Bakar memaklumkan walau tindakan sudah diambil sebelum ini, namun kejadian sama terus berleluasa berikutan aspek pemantauan longgar.

“Pentadbiran kerajaan sebelum ini melalui imigresen dan polis bersama Kerajaan Selangor mempergiat usaha menangani isu tersebut dan kes berjaya dikurangkan. Malangnya kini ada yang masuk semula dan duduk percuma,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Blok 1 Hairuddin Idris berkata pihaknya pernah menasihati individu berkenaan supaya meninggalkan kediaman terbabit, namun tidak diendahkan.

Jelasnya, tindakan pengusiran hanya boleh dilaksana oleh pihak pengurusan yang perlu dibuat secepat mungkin bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita sudah kenal pasti rumah yang diceroboh dan memiliki senarai nama individu berkaitan tetapi kita tiada hak untuk halau,” katanya.


Pengarang :