ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (kiri) menyertai program “SEDAR Walk” KRT SS25A dan Jabatan Kesihatan Bahagia Vektor MBPJ bersama Ahli Majlis Kawasan pada 22 Ogos 2020. Foto: Facebook Jamaliah Jamaluddin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bandar Utama teliti idea baharu agih bantuan kepada penduduk

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama akan meneliti idea baharu bagi mendapatkan bantuan untuk diagih kepada penduduk yang memerlukan tahun ini.

Jamaliah Jamaluddin berkata pendekatan berbeza wajar digerakkan dalam memenuhi keperluan golongan sasar khususnya yang terkesan akibat Covid-19.

“Perbincangan akan diadakan bersama pegawai dan ahli majlis terlibat untuk menentukan jenis bantuan termasuk menambah baik sistem pemberian sama ada melalui baucar atau sebaliknya.

“Sepanjang tempoh pandemik, ramai yang beri bantuan makanan asas sedangkan mereka (penduduk) sebenarnya bukan sekadar memerlukan bekalan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas inisiatif Dato’ Menteri Besar yang memperuntuk RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen negeri ini bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor hari ini berkata kelulusan peruntukan khas itu dipersetujui berikutan keadaan pandemik yang terus melarat.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata usaha tersebut memudahkan wakil rakyat merancang dan menjayakan program bantuan secara menyeluruh di kawasan masing-masing.

“Diharapkan bantuan ini bukan sahaja mampu meringankan beban warga Bandar Utama malah menggalakkan mereka mencari pendapatan yang lebih banyak,” katanya.

Beliau menambah hampir 1,600 keluarga terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40), warga emas dan ibu tunggal mendapat manfaat bantuan makanan asas sejak Mac tahun lalu.

Jamaliah berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan beberapa pasar raya terpilih yang membekalkan keperluan tersebut secara borong.


Pengarang :