Tiga adik beradik dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) Siti Nur Alisha Dania, 12, Muhammad Afif Darwish, 7, dan Muhammad Alif Daniel, 9, mengikuti pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian ketika tinjauan pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bukit Melawati teliti permohonan komputer riba pelajar B40

SHAH ALAM, 25 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sedang meneliti permohonan pelajar kurang berkemampuan mendapatkan komputer riba bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini pihaknya menerima kira-kira 20 permohonan membabitkan pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita sedang mengusahakan komputer riba baharu bagi kegunaan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan berdasarkan semakan kelayakan.

“Sumbangan ini nanti diharap dapat membantu proses pembelajaran yang lebih berkesan sekali gus memudahkan urusan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata kekurangan alat peranti seperti gajet dan komputer menyukarkan pelajar khususnya di luar bandar belajar secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara norma baharu pendidikan adalah pembelajaran di rumah menggunakan aplikasi media, maka terdapat beberapa cabaran terutama bagi pelajar di kawasan luar bandar dan golongan B40.

“Ia termasuk ketiadaan atau tidak cukup kelengkapan gajet untuk belajar apatah lagi jika anak yang bersekolah lebih dua orang,” katanya.


Pengarang :