Ng Sze Han bercakap kepada media selepas melawat tapak tempat letak kereta baharu di Batu 14, Jalan Puchong, Puchong pada 31 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kinrara teruskan inisiatif 2020 bantu rakyat terjejas Covid-19

PUCHONG, 1 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara tekad meneruskan inisiatif tahun lalu bagi membantu penduduk terutama mereka yang terjejas ekoran Covid-19.

Wakil rakyatnya, Ng Sze Han berkata program tersebut termasuklah Sayangi Kinrara, Dapur Kinrara dan Ziarah Medik Kinrara.

“Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita lancarkan program Sayangi Kinrara iaitu penyediaan peti makanan yang mana masyarakat kurang berkemampuan boleh datang pusat khidmat saya untuk ambil makanan.

“Kita turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai meletak makanan dalam peti tersebut,” katanya selepas melawat parkir kenderaan baharu di Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong semalam.

Sze Han menambah Dapur Kinrara pula beroperasi setiap Ahad, jam 12 tengah hari hingga 2 petang di Balai Masyarakat MBSJ, Puchong Jaya yang berfungsi memberi makanan kepada golongan memerlukan.

“Selain itu, Program Ziarah Medik Kinrara berkonsepkan beri bantuan kesihatan seperti kerusi roda dan lampin pakai buang dewasa kepada golongan memerlukan dengan membuat lawatan terus ke kediaman mereka,” katanya.


Pengarang :