Peniaga dan pelanggan memakai pelitup muka serta mematuhi SOP ketika melakukan urusan jual beli di Sri Gombak, Batu Caves pada 22 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat inisiatif kurangkan beban peniaga disegerakan

SHAH ALAM, 20 JAN: Bantuan kepada usahawan yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2021 disegerakan bagi mengurangkan beban golongan berkenaan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan meliputi empat inisiatif iaitu Selangor e-Dapur, e-Pembekalan Peruncit dan Mikro, Rakan Digital Selangor dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI).

“Pelaksanaan PKP bermula 13 Januari menuntut beberapa inisiatif ini dipercepatkan untuk membantu peniaga kecil, usahawan dan penjaja yang terjejas serta memacu agenda pendigitalan Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan Selangor e-Dapur akan dilaksanakan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dalam masa terdekat bagi membantu 1,000 penjaja makanan dan minuman untuk berniaga secara dalam talian.

Dengan peruntukan RM10 juta, peserta yang memohon akan mendapat skim pinjaman mikrokredit untuk menampung kos operasi dan mengadaptasi perniagaan ke platform e-dagang.

Amirudin berkata inisiatif e-Pembekalan Peruncit dan Mikro membantu 1,000 peruncit mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah, mudah serta cepat melalui platform digital yang diuruskan Hijrah dengan peruntukan RM5 juta.

“Peruntukan RM3 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Rakan Digital Selangor dengan melantik 1,000 individu untuk membimbing rakyat negeri ini, khasnya peniaga, warga emas, mahasiswa untuk menggunakan aplikasi digital dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, NaDI diperluas untuk usahawan wanita yang boleh dipohon tanpa perlu mempunyai premis dan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM10 juta.

Jelas Amirudin, seramai 3,000 peserta boleh terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan dan akan mendapat manfaat tambahan iaitu pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM3,000 seperti diumumkan Oktober tahun lalu.


Pengarang :