Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat kluster baharu di Selangor, tiga babit tempat kerja

SHAH ALAM, 5 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster baharu di Selangor melibatkan 126 kes positif Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Jalan Playar dan Sri Suria dikesan di Petaling manakala Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih dan Bukit Angkat di Hulu Langat.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiga kluster baharu merupakan kluster tempat kerja dan dikesan selepas menjalani saringan bersasar.

“Kluster Sri Suria membabitkan 16 kes positif selepas 258 individu disaring manakala Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih melibatkan 371 individu disaring dan 17 didapati positif.

“Kes bagi Kluster Bukit Angkat dilaporkan bermula 1 Januari. Setakat hari ini 83 menjalani saringan dan 25 positif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Kluster Jalan Playar pula, ia mula dikesan pada 11 Disember dan seramai 180 individu disaring dengan 68 disahkan positif.

 


Pengarang :