BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Empat lokasi simpan koleksi sejarah di Selangor dibuka tahun ini

KUALA LANGAT, 2 JAN: Empat lokasi di negeri ini yang menyimpan variasi khazanah sejarah dijangka dibuka kepada pengunjung tahun ini, kata EXCO istiadat melayu, kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata ia merangkumi Muzium Permainan Tradisi (Kuala Selangor), Gedung Raja Abdullah (Klang), Istana Bandar (Kuala Langat) dan Muzium Sultan Alam Shah (Shah Alam).

Menurutnya, kesemua bangunan terbabit kini pada fasa akhir bagi pengisian koleksi dan bahan sejarah selepas melalui proses tambah baik serta pembinaan.

“Kita akan pastikan semua kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat lawatan bersejarah dapat dibuka kepada orang ramai antara pertengahan hingga akhir tahun ini.

EXCO Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berucap ketika Program Agihan Bakul Makanan di Kampung Sungai Raba, Banting pada 2 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Apabila beroperasi, kita yakin ia mampu menjadi lokasi pelancongan yang bukan sahaja menarik kunjungan warga tempatan malah masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini hari ini.

Borhan menambah, kerja penaik tarafan Istana Bandar berjaya disempurnakan walaupun mengambil sedikit masa berikutan perlu mendapat kelulusan dana tambahan kerajaan.

“Sebelum ini, kita sudah memohon kepada Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bagi memastikan baik pulih dapat diteruskan serta dibuka kepada orang ramai.

“Ini kerana, Istana Bandar memiliki keunikan tersendiri dan sekiranya tidak dipelihara dengan baik maka nilai seni bersejarah di Kuala Langat akan pupus,” katanya.


Pengarang :