Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Empat pusat pemindahan tempatkan 183 mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 183 mangsa banjir di dua daerah negeri ini.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata PPS Hulu Selangor meliputi Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah yang menempatkan 108 mangsa.

Turut dibuka dalam daerah sama ialah Balai Raya Kampung Alah Batu yang diduduki 13 mangsa dan tujuh lagi mangsa di Kampung A.

“Bagi daerah Kuala Selangor, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang yang menempatkan 55 mangsa,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, beberapa kampung dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Sabtu yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.


Pengarang :