Bas Smart Selangor membawa rakyat Malaysia yang baharu pulang dari luar negara ke pusat kuarantin yang disediakan. Foto Twitter Amirudin Shari
EXCOSELANGOR

EXCO: 10 Bas Smart Selangor khas bawa pesakit Covid-19 ke Maeps

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan 10 Bas Smart Selangor untuk membawa pesakit Covid-19 berisiko rendah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

EXCO pengangkutan berkata bas terpilih ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di situ memang khusus untuk tujuan tersebut dan kerap disanitasi.

“Kita turut mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan dan Unit Pengurusan Bencana Negeri supaya pemandu bertugas menghantar pesakit terjamin keselamatan mereka.

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang kerana kenderaan itu tidak digunakan untuk perkhidmatan lain,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha pelbagai cara demi memerangi pandemik dan berharap orang ramai bersama berganding bahu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :