EXCOSELANGOR

EXCO: 50 kampung tradisi dikenal pasti bina kebuk sampah

BANTING, 3 JAN: Sebanyak 50 kampung tradisi di Selangor dikenal pasti untuk pembinaan kebuk sampah yang dijangka bermula selewat-lewatnya Mac ini.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata pemilihan dibuat dengan mengambil kira lokaliti yang berdepan isu pencemaran serius ekoran pembuangan sampah.

Borhan Aman Shah menjelaskan pihaknya sudah mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menjayakan pelaksanaannya.

“Sepanjang bulan ini kita akan kenal pasti kampung berkenaan sebelum mendapatkan sebut harga pada Februari depan melalui dana yang diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2021.

“Kebuk sampah akan diwujudkan di luar kawasan kampung bagi memudahkan kutipan sampah oleh KDEBWM kerana sebelum ini timbul alasan bahawa lori agensi itu tidak dapat memasuki jalan kampung yang sempit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membina kebuk sampah di kampung tradisi untuk mengawal pembuangan sampah yang memudaratkan rakyat dan alam sekitar.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Tanjung Sepat berkata dana tambahan diperlukan bagi melaksanakan pendekatan sama terhadap kampung lain berikutan kos pembinaan kebuk sampah yang teratur dan selesa bagi setiap kampung dianggar bernilai RM200,000.

Pada masa sama, Borhan meminta kerjasama masyarakat supaya menjaga kebersihan dan mengelak pembuangan sampah di merata tempat yang boleh mencacatkan pemandangan kampung.

“Saya bimbang jika kebuk sampah ini dipenuhi dengan sisa pepejal dan bahan buangan dari luar terutama individu tidak bertanggungjawab yang mengambil mudah soal kebersihan,” katanya.


Pengarang :