Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Darurat tak ganggu pentadbiran Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 16 JAN: Pentadbiran Kerajaan Selangor tidak terkesan dan berjalan seperti sedia kala biarpun darurat dikuat kuasa di seluruh negara.

“Darurat secara jelasnya tidak mengganggu pentadbiran Kerajaan Negeri kerana kuasa eksekutifnya masih sama.

“Malah mesyuarat EXCO yang pertama pada tahun ini berlangsung pada 13 Januari lalu, selepas pengumuman dibuat,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian ketika Program Bual Bicara Condiser This ‘Emergency Limitless Executive Power?’ menerusi Astro Awani, malam tadi.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut beranggapan tindakan pengumuman darurat berkenaan sebagai langkah untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman Covid-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu diwarta dan disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara manakala keesokannya dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.


Pengarang :