BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO gesa wanita manfaat media sosial untuk jana pendapatan

SHAH ALAM, 30 JAN: Wanita digesa memanfaatkan platform media sosial untuk menjana pendapatan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata golongan itu tidak sepatutnya menjadikan Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan tidak boleh berniaga.

“Ramai yang ada Facebook, Instagram tetapi tidak manfaatkan medium itu dengan perkara berfaedah.

“Justeru, saya cadangkan golongan hawa terokai bagaimana hanya dengan media sosial anda boleh jana sekurang-kurangnya RM150 sehari,” katanya pada program bual bicara di Facebook.

Beliau mencadangkan wanita membuat kelas tuisyen secara dalam talian memandangkan ramai pelajar tidak boleh ke sekolah susulan pandemik.

“Berniaga tidak semestinya ada lokasi, kita perlu kreatif menjadikan platform maya sebagai lubuk rezeki dan ubah minda agar tidak terlepas dengan perkembangan teknologi,” katanya.


Pengarang :