BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pengunjung pasar tani dinasihat patuh SOP

SHAH ALAM, 28 JAN: Pengunjung pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam dinasihat mematuhi peraturan ditetapkan apabila kembali beroperasi Ahad ini, kata EXCO pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata orang ramai jangan ambil mudah pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kerana penularan Covid-19 di negeri ini masih tinggi.

“Orang ramai perlu pakai pelitup muka, rekod suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal.

“Majlis Keselamatan Negara membenarkan pasar tani beroperasi, justeru menjadi tanggungjawab kita semua untuk kekalkan disiplin ketika berada di tempat awam,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 12 Januari, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun waktu operasi hanya dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

Pada 17 April Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :