EXCO Kerajaan Negeri V Ganabatirau bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Perayaan Ponggal peringkat Selangor di Kuil Sri Subramaniam, Kajang pada 19 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Sambut perayaan Ponggal sederhana dengan keluarga

SHAH ALAM, 13 JAN: Rakyat Selangor beragama Hindu dinasihatkan meraikan perayaan Ponggal esok secara sederhana bersama ahli keluarga sahaja.

EXCO bersama hal ehwal selain Islam berkata tindakan itu mengambil kira pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bagi memerangi Covid-19.

“Sambutan Ponggal tahun ini agak berbeza kerana negara kita berada dalam situasi pandemik.

“Malah, kes harian juga tinggi sehingga kerajaan terpaksa melaksana PKP di beberapa negeri bagi mengekang penularan wabak,” kata V Ganabatirau dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Ponggal dan mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama hormati serta hargai kepelbagaian yang wujud dalam negara.

“Kita bertuah kerana hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di samping mempunyai budaya, tradisi serta adat resam masing-masing yang menjadi sumber kekuatan sebagai sebuah negara majmuk.

“Oleh itu, saya menyeru kita bersama berganding bahu, bersatu dengan semangat cekal patuhi SOP selain berkongsi kemeriahan perayaan Ponggal,” katanya.


Pengarang :