SHAH ALAM, 31 JAN: Sebanyak 22 daripada 48 pasar tani di Selangor sudah beroperasi setakat ini, kata EXCO pertanian dan asas tani.
Ir Izham Hashim berkata pembukaan semula baki pasar tani dilakukan secara berperingkat bergantung keadaan terkini penularan Covid-19 di kawasan terbabit.
“Kerajaan Negeri dengar rintihan ramai peniaga yang terjejas pendapatan, mereka minta buka semua pasar tani. Jadi kita bersetuju lebih banyak pasar tani akan dibuka.

“Cuma peringatan kepada peniaga dan pengunjung untuk patuh tatacara operasi piawai (SOP) serta kekalkan disiplin demi kebaikan kita bersama,” katanya selepas meninjau pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini.
Izham berharap berharap hasil jualan mencecah lebih RM50 juta apabila semua pasar tani di seluruh negeri dibuka sepenuhnya.
Pada 12 Januari, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun waktu operasi hanya dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.
Pada 17 Januari Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.