Selangorkini
Exco Kerajaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah (tiga, kiri) Adun Banting, Hasnul Baharuddin (tiga, kanan) menyampaikan sumbngan ketika Program Agihan Bakul Makanan di Kampung Sungai Raba, Banting pada 2 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor kaji wujud kampung dalam kampung, licinkan tadbir urus

KUALA LANGAT, 3 JAN: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menstrukturkan semula kampung tradisi yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di setiap daerah.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata penyusunan itu dengan mewujudkan kampung dalam kampung bagi melicinkan tadbir urus pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Borhan Aman Shah menjelaskan kewujudan kampung dalam kampung bakal memudahkan penduduk untuk menjalankan aktiviti setempat.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi dialog di beberapa daerah berhubung perkara ini, jadi saya mahu kenal pasti jumlah penduduk di kampung terbabit. Jika ada keperluan, kita akan wujudkan satu lagi kampung dalam kampung.

“Bagaimanapun, ia perlu diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dikaji sebelum diselidik oleh Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini semalam.

Mengulas lanjut, ahli dewan negeri Tanjung Sepat berkata penduduk terlalu ramai di sesebuah kawasan menyebabkan pengerusi MPKK sukar mentadbir sesebuah kampung dengan cekap.

Beliau juga bimbang agenda Kerajaan Negeri tidak sampai ke sasaran berikutan keluasan kampung melebihi jangkauan.

“Malah, kita tidak mahu kampung berkenaan berdepan isu kekurangan kemudahan misalnya dengan berkongsi balai raya,” katanya.


Pengarang :