Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Fikirlah: Antara penjarakan sosial dan vaksin Covid-19

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 11 JAN: ‘Tawaran diskaun sehingga 70 peratus, siapa tidak tertarik?’.

Sememangnya, sudah menjadi lumrah masyarakat apabila dengar sahaja perkataan ‘diskaun’ atau terpandang iklan mengenainya, tidak kisahlah berapa peratusan sekali pun, pastinya ia akan membangkitkan keterujaan untuk membelinya.

Apatah lagi, kebanyakan pusat membeli-belah mahupun butik terkenal ketika ini sama ada di Lembah Klang mahupun seluruh negara meriah dengan pelbagai tawaran potongan harga menarik sekali gus membuatkan kebanyakan masyarakat tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan diingini.

Begitu jugalah dengan saya. Dengan diskaun ‘harga runtuh’ pelbagai jenis pakaian yang dijual daripada ratusan ringgit sebelumnya, kini boleh didapati pada harga ada antaranya bawah RM100, promosi istimewa sebuah butik terkenal dari Sepanyol di sebuah pusat membeli-belah Lembah Klang, membuatkan saya turut sama merancang menambah koleksi sedia ada.

Hari bekerja menjadi pilihan mencari pakaian diingini bagi mengelakkan kesesakan orang ramai yang pastinya tidak akan ketinggalan membanjiri butik berkenaan pada hari minggu dan kebetulan ia tidak menjadi masalah buat saya memandangkan sedang bercuti ketika itu.

Semestinya, saya mengharapkan orang tidak ramai berkunjung pada hari bekerja berbanding Sabtu, Ahad, sekali gus memudahkan pemilihan koleksi diingini dengan tenang tanpa perlu risau dengan kemungkinan bersentuh bahu mahupun beratur panjang menunggu giliran apatah lagi dalam situasi negara masih lagi bergelut dengan Covid-19.

Namun, harapan setinggi gunung itu akhirnya berderai sejurus menjejakkan kaki ke butik itu mahupun kedai jenama lain yang tetap ‘meriah’ dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, umur, biarpun pada hari bekerja sekali gus membuatkan minat yang begitu berkobar-kobar untuk membeli-belah pada awalnya sedikit luntur.

Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berlainan pula mereka yang berkenaan. Bersungguh-sungguh memilih apa diinginkan sebaik dapat memasuki ke dalam butik sehingga terleka dan tidak sedar atau mungkin tidak kisah apabila ada antaranya berada berdekatan antara satu sama lain.

Memang langsung tidak ada penjarakan sosial. Yang penting, asalkan barangan diingini diperoleh apatah lagi seluar jenama terkenal yang masih cantik kualitinya itu berharga kurang daripada RM100 sekali gus membuatkan ramai rambang mata.

Melihat keadaan itu, saya mula tertanya-tanya apakah mereka sudah lupa bahawa kita sebenarnya masih lagi dalam pergelutan pandemik Covid-19?

“Sales bergantung sehingga habis stok, sama ada awal atau pertengahan bulan Januari. Sekarang ini, orang sudah tidak kisah SOP (tatacara operasi piawai), kak. Malah, kami pula yang kena marah apabila ingatkan pengunjung mengenai SOP tetapi kami nasihat dengan baik.

“Kami juga cuba kawal penjarakan sosial dengan mengehadkan jumlah pelanggan masuk ke butik. Tetapi, kami tidak mampu nak kawal setiap masa, setiap pelanggan semasa mereka mencari barangan diingini untuk pastikan adanya penjarakan sosial.

“Lagipun, jumlah pekerja kami tidak ramai dan setiap seorang sibuk dengan tugas masing-masing seperti mencari saiz baju diinginkan pelanggan dan susun atur pakaian,” kata dua pekerja butik jenama terkenal itu ketika sengaja saya bertanyakan mengenai sikap masyarakat membeli-belah semasa pandemik Covid-19 ini masih lagi aktif menyengat mencari mangsa seterusnya.

Ya, benar juga apa diperkatakan pekerja butik itu. Masyarakat (bukan semua) nampaknya sudah semakin selesa ke sana ke sini, tidak kisah mengunjungi tempat sesak dengan penuh gembira, malah ada juga yang sanggup membawa golongan berisiko seperti kanak-kanak kecil mahupun warga emas bersiar-siar di kawasan ramai orang, seolah-olah negara sudah bebas sepenuhnya daripada wabak itu.

Malah, senario kealpaan ini bukanlah sukar dilihat dan ia tidaklah hanya berlaku di butik berkenaan semata-mata tetapi polemik kedegilan pematuhan SOP ini juga sudah begitu mudah dilihat di mana-mana sahaja dalam persekitaran komuniti kita ketika ini.

Contohnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, banyak kali jugalah saya turun naik pelbagai pusat membeli-belah sekitar Lembah Klang. Bukan untuk membeli-belah sangat pun tetapi ada urusan seperti mendapatkan stok pen telefon pintar yang hilang dan menebus kerosakan barangan yang masih dalam jaminan.

Tidak dinafikan, sepanjang tempoh itu, saya dapati kebanyakan masyarakat tidak mempunyai masalah dengan pemakaian pelitup muka. Majoritinya, komited mengenakan pelbagai pelitup muka sama ada berasaskan material fabrik mahupun jenis perubatan, ‘three ply surgical mask’.

Biarpun demikian, entah mengapa atau di mana silapnya, boleh dikatakan kebanyakannya mula bagaikan hilang pertimbangan atau tidak sedar akan kepentingan pematuhan SOP khususnya berkaitan penjarakan sosial, biasanya apabila membabitkan dua aktiviti kesukaan masyarakat iaitu ketika makan mahupun membeli-belah.

Lihat sahajalah di mana-mana restoran, gerai, masih ada lagi yang degil untuk mengamalkan normal baharu apabila makan dengan penuh gembira, sembang berjam-jam lamanya dan tiadanya jarak sosial antara satu sama lain.

Walhal, sudah berbuih rasanya mulut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mahupun barisan hadapan negara mengingatkan akan kepentingan mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempit dan sembang jarak dekat.

Saya masih ingat lagi ketika melepasi satu gerai yang terkenal dengan masakan berasaskan tauge di medan selera di sebuah pusat membeli-belah sekitar Lembah Klang baru-baru ini di mana tukang masaknya akan memasak di hadapan pelanggan. (Kondisi tempat duduknya disusun berbentuk pusingan U berhadapan dengan chef dan biasanya pelanggan akan duduk berdekatan antara satu sama lain).

Langkah saya bagaimanapun terhenti sebaik melihat langsung tidak ada penjarakan sosial dalam kalangan pelanggannya apabila mereka duduk berdekatan antara satu sama lain.

Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Yang peliknya, tidak ada secubit kerisauan pun kalangan mereka andai dijangkiti wabak itu bahkan masing-masing semakin teruja sebaik melihat aksi chef berkenaan menonjolkan kemahiran memasaknya.

Walhal saya pula yang merasa bimbang dengan situasi berkenaan biarpun sekadar melihatnya dari jauh sehingga pelbagai persoalan berkecamuk dalam minda.

Apakah pihak restoran ini terlalu mementingkan keuntungan sehingga tidak adanya kesedaran untuk meletakkan tanda X sebagai adanya penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggannya? Bagi pelanggan pula, apakah mereka yakin orang yang makan bersebelahannya tidak ada Covid-19?

Tidak dinafikan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini ada menyatakan sudah tiada lagi had jumlah pelanggan setiap meja di kedai makan kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun beliau juga menekankan ia tertakluk kepada penjarakan fizikal.

Saya berpandangan kelonggaran ini diberikan dalam kalangan keluarga kita. Namun, apabila membabitkan orang tidak dikenali duduk semeja adalah sewajarnya setiap daripada kita bertanggungjawab akan isu penjarakan fizikal andainya pihak restoran itu tidak ambil peduli.

Apakah kita tidak bimbang andainya individu tidak dikenali duduk semeja bersebelahan dengan ibu ayah yang juga warga emas, tanpa disedari mungkin pelanggan itu mempunyai Covid-19 tetapi tidak bergejala atau dipanggil ‘silent carrier’?

Bukankah keadaan itu sudah merisikokan ibu ayah kita sendiri apatah lagi sekiranya mereka mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) yang diketahui umum bahawa majoriti kematian akibat wabak itu adalah dalam kalangan pesakit berkenaan?

Dalam polemik ini, masyarakat harus faham beberapa kelonggaran SOP diumumkan kerajaan sejak 7 Dis lepas (tahun 2020) adalah bertujuan memastikan keseimbangan antara kesihatan awam dan pemulihan ekonomi.

Ia bukanlah bermakna rakyat boleh alpa, bersuka-ria kerana pandemik Covid-19 yang sudah berada dalam komuniti kita hampir setahun sejak kes pertama virus itu disahkan pada 25 Jan, 2020 masih lagi belum berakhir, ini yang kita harus hadam sebaiknya.

Mungkin ada yang merasa lega dengan berita pengeluaran vaksin namun itu bukanlah bermakna kita sudah boleh ambil ringan akan kepatuhan SOP. Difahamkan, kumpulan pertama vaksin Covid-19 akan diperoleh pada Februari ini (tahun 2021), untuk memenuhi keperluan terutamanya golongan barisan hadapan dan kumpulan yang mudah terjejas.

Sehingga artikel ini ditulis pada 4 Jan, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.

Sememangnya, pastinya berita ini membawa seribu satu kegembiraan dan kelegaan buat pelbagai sektor industri dan masyarakat apatah lagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menegaskan vaksin Covid-19 yang akan diguna pakai nanti tidak memberi kesan sampingan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Menteri MOSTI Ahmad Amzad Hashim dipetik berkata vaksin itu telah diuji secara klinikal dan akan dikawal selia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan. Biarpun demikian, ia bukanlah bermakna kita sudah boleh menghentikan normal baharu yang diamalkan ketika ini.

Skrin memaparkan maklumat berkenaan Vaksin Covid-19 ketika sidang media perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan pada 27 November 2020. Foto BERNAMA

Menurut Pakar Virologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar dipetik sebagai berkata, SOP tidak boleh dikompromikan berikutan risiko dijangkiti wabak berkenaan tetap ada walaupun seseorang itu telah disuntik vaksin.

Biarpun demikian, kepentingan suntikan vaksin ini adalah berkesan menghalang atau melindungi seseorang itu mengalami kesan lebih teruk daripada jangkitan itu berbanding yang langsung tidak menerima suntikan.

Semestinya, memerangi musuh senyap ini pastinya lebih pragmatik dengan gabungan suntikan vaksin diperoleh beserta normal baharu yang diamalkan ketika ini. Dan ia, berbalik kepada diri kita sendiri.

Ini kerana, kitalah yang harus memainkan peranan, tanggungjawab bukan sahaja untuk menjaga diri bahkan juga keluarga dengan tidak merisikokan mereka kepada jangkitan Covid-19 antaranya mengelak ke tempat sesak.

Jadi, mengapa harus keluar andainya tidak ada keperluan penting?

– BERNAMA


Pengarang :