Sebahagian pekerja wanita Top Glove beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 25 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gagal patuh SOP penginapan pekerja, 23 majikan didakwa

BUKIT MERTAJAM, 29 JAN: Sebanyak 23 majikan telah didakwa di mahkamah kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda pada 2019, sejak dikuatkuasakan pada 1 September tahun lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 100 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara.

“Setakat ini dalam operasi yang kita jalankan, hampir 80 peratus majikan mematuhi dan menunjukkan tahap pematuhan yang memuaskan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta 446 di sebuah syarikat pembuatan kasut di kawasan Perindustrian, Bukit Tengah di sini hari ini.

Awang berkata kebanyakan majikan yang didakwa itu didapati gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penginapan pekerja, antaranya menempatkan terlalu ramai pekerja di dalam sebuah bilik.

“Setiap bilik hanya boleh menempatkan dua orang pekerja, namun dalam tinjauan operasi kebanyakannya dihuni lebih ramai pekerja iaitu enam orang untuk satu bilik, manakala penggunaan bilik air hanya enam orang bagi satu bilik air,” katanya.

Awang berkata tindakan penguatkuasaan itu akan diperhebat bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat di negara ini mematuhi akta tersebut serta SOP Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebelum dipinda pada 2019, akta itu hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan, namun kini undang-undang tersebut dikuatkuasakan ke atas semua sektor selain memperuntukan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

– BERNAMA

 


Pengarang :