Dr Siti Mariah Mahmud. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Golongan miskin bandar digesa mohon Skim Insurans Peduli Sihat

SHAH ALAM, 12 JAN: Golongan miskin bandar digesa memohon Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) sebelum Mac ini berikutan terdapat 4,000 kekosongan kuota lagi.

EXCO kesihatan berkata pelbagai manfaat akan diterima pemegang polisi selepas Kerajaan Selangor menambah perlindungan insurans asas membabitkan 36 penyakit kritikal selain rawatan pesakit luar.

“Golongan B40 terutama miskin bandar diminta memohon dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing.

“Walaupun kuota DUN itu sudah penuh, mohon sahaja kerana ia akan dibawa ke pihak kami untuk dinilai. Kita akan beri jika pemohon sememangnya layak,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, setakat awal Januari ini seramai 81,000 individu layak menerima SIPS termasuk 2,000 permohonan yang masih dalam proses.

Katanya, penerima SIPS sebelum ini juga diminta mengemas kini maklumat diri di pusat khidmat DUN atau penyelaras bagi memastikan kebajikan ahli keluarga terpelihara.

“Kita juga akan lakukan pemutihan kerana didapati ada pemegang polisi yang tidak menepati kriteria. Kita mahu bantuan ini sampai pada golongan sasar,” katanya.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).


Pengarang :