Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendengar taklimat kesihatan daripada Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UMP Dr Khairul Salleh Abdul Basit pada 27 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Graduan cadang kerajaan tangguh sesi pembelajaran fizikal di IPT

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan dicadang menangguhkan sesi pembelajaran secara fizikal di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara ketika ini, selain mengekalkan pembelajaran secara dalam talian dan jarak jauh.

Presiden Persatuan Graduan Muda Malaysia (Graduan) Lee Seang Hock berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mahasiswa terjaga, dalam tempoh kritikal penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata kehadiran kuliah di kampus perlu ditangguhkan, bagi mengelak sebarang aktiviti fizikal secara berkumpulan, yang mempunyai risiko jangkitan amat tinggi.

“Kemasukan ke IPT, yang melibatkan pergerakan puluhan ribu mahasiswa dari pelbagai kawasan adalah amat berisiko dan membimbangkan semua pihak.

“Oleh itu, alternatif harus dijalankan melalui pembelajaran secara dalam talian, iaitu kaedah pendidikan yang telah disokong oleh pakar kesihatan dan pakar pendidikan, bagi menjamin kelangsungan ilmu dalam kalangan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee turut mencadangkan agar lebih banyak kelonggaran diberikan kepada mahasiswa dari segi kehadiran kelas dan tugasan akademik, memandangkan terdapat golongan yang menghadapi kekurangan infrastruktur dan kesukaran berkomunikasi di platform dalam talian.

Selain itu, beliau menyeru Kementerian Pengajian Tinggi dan IPT, supaya memberi perhatian kepada kesihatan mental dan status kewangan mahasiswa, yang mungkin terjejas sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :