Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 2,000 orang sertai Saringan Komuniti Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 8 JAN: Hampir 2,000 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri dalam tempoh dua hari penganjurannya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata seramai 947 penduduk dari kawasan sekitar disaring semalam dan hampir 1,000 orang lagi pada hari kedua.

“Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dikendali oleh 35 petugas kesihatan Klinik Selcare dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Kit ujian tersebut digunakan dalam program Saringan Komuniti Taman Bayu Perdana dan Meru, Klang hujung tahun lalu bagi mengesan jangkitan Covid-19 kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar secara percuma di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lalu bagi membendung penularan wabak.

Langkah itu juga bagi memastikan kadar jangkitan bawah paras lima peratus yang ketika ini pada tahap tujuh hingga 25 peratus.

Hari ini, Selangor mencatatkan 1,086 kes baharu dan sembilan lagi kematian disebabkan wabak itu.


Pengarang :