Reaksi seorang pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD bermula pada 17 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 5,000 pekerja asing dijangkiti Covid-19 sejak Disember

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Seramai 251,101 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Dis lalu hingga semalam dengan 4,735 orang didapati positif jangkitan virus itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebanyak 10,500 majikan menghantar pekerja mereka menjalani ujian itu yang diwajibkan oleh kerajaan ke atas pekerja asing.

“Semalam, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 8,601 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 133 daripadanya positif.

“Hingga kini juga, 887 klinik terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ujian itu selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing, khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung majikan masing-masing.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sejak 20 April lepas, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan 14,840 pemeriksaan melibatkan 8,404 tapak pembinaan di seluruh negara.

Mengenai pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), beliau berkata polis menahan 426 individu dengan 404 dikompaun, 21 direman dan seorang dijamin, semalam.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula menyaksikan 23 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dan dua bot dirampas.

-BERNAMA


Pengarang :