Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (dua, kanan) bersama ahli jawatankuasa Surau Nurul Hasanat USJ 8 ketika melawat surau itu pada 15 Januari 2021. Foto ihsan Michelle Ng Mei Sze
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hampir RM60,000 tambah baik surau, sekolah agama Subang Jaya

SHAH ALAM, 21 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan RM59,923 bagi menambah baik dua surau dan sebuah sekolah agama.

Ahli Dewan Negerinya berkata RM19,990 daripada jumlah itu dibelanja untuk Surau Nurul Hasanat USJ 8 bagi mengganti karpet baharu di ruang solat, menaik taraf tempat wuduk, baik pulih tandas wanita dan membekalkan khemah 6.1 meter x 6.1 meter.

“Manakala RM19,992 menaik taraf prasarana Surau Al-Mukminin PJS 9 meliputi kerja mengecat serta menyembur cecair rawatan anti serangga.

“Ketika lawatan ke kedua-dua surau tahun lalu saya dapati banyak peralatan perlu diganti demi keselesaan kariah beribadat,” kata Michelle Ng Mei Sze dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata baki RM19,941 pula disalurkan ke Sekolah Kafa Integrasi Jalan SS15/2E untuk menurap jalan, baik pulih pagar utama, membina longkang pencegah malaria dan memasang penutupnya.

“Difahamkan sebelum ini air sering bertakung menyebabkan guru dan pelajar perlu membuka kasut ketika melalui kawasan itu untuk ke sekolah,” katanya.


Pengarang :