Perkeso melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bagi membantu majikan mengambil pekerja baharu.
AGENDA NASIONAL

Hanya 0.5 peratus tuntutan pekerja diberhenti belum selesai

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Hanya 0.5 peratus atau 593 kes bayaran insentif dan bantuan kewangan untuk pekerja yang diberhentikan kerja pada 2020 masih belum selesai, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso dalam kenyataan berkata kes yang belum selesai tidak melebihi 14 hari, iaitu mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Perkeso menjelaskan dakwaan mengenai kelewatan dalam memproses permohonan dan pembayaran insentif serta bantuan kewangan untuk majikan dan pekerja.

Ia memberi jaminan bahawa Perkeso memantau dengan teliti perkembangan setiap kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan permohonan tuntutan.

“Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso juga sedang giat mengambil langkah menangani isu beban kerja untuk pegawainya,” menurutnya.

Ia berkata selain memproses tuntutan faedah SIP atau bantuan kewangan kerajaan, Perkeso turut menugaskan pengurus kes SIP bagi memudahkan setiap pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Menurut Perkeso, ia beransur-ansur merekrut lebih ramai pegawai untuk memproses dengan cepat kes LOE biasa serta permohonan untuk program pengekalan pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 pakej rangsangan ekonomi Belanjawan 2021.

“Dengan tuntutan SIP biasa di bawah Akta 800, Perkeso telah memproses 3.143 juta permohonan di bawah semua inisiatif dan memproses 74,795 permohonan bulanan bagi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Akta 800 pada 2019.

“Pada 2020, pegawai SIP menerima 262,547 permohonan bulanan EMP; 45,684 permohonan program pengekalan pekerjaan (ERP); 1.99 juta permohonan program subsidi upah (PSU) 1.0; 314,586 permohonan bulanan PSU 2.0; 772,674 program insentif pengambilan pekerja; 7,104 permohonan bantuan mobiliti (di bawah PenjanaKerjaya 1.0),” menurut kenyataan itu.

SIP bertindak sebagai jaring keselamatan pekerja yang diberhentikan yang memenuhi keperluan Akta SIP 2017 (Akta 800) yang menyokong pemohon yang layak dengan bantuan kewangan untuk mencegah kemiskinan serta pengurusan kes dan perkhidmatan untuk memudahkan mereka bekerja semula.

– BERNAMA

 


Pengarang :