Pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial diwajibkan kepada semua pelajar ketika berada di dalam kelas sebagai norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hanya murid duduki peperiksaan utama hadir ke sekolah 20 Januari ini

SHAH ALAM, 16 JAN: Sesi persekolahan secara bersemuka seluruh negara yang bermula pada 20 Januari ini hanya melibatkan mereka yang menduduki peperiksaan utama susulan peningkatan kes Covid-19.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata semua murid sekolah rendah dan menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tempoh yang sama.

“Pembelajaran bersemuka membabitkan calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Turut terlibat calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STPM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) serta peperiksaan setara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM turut menyarankan supaya ketetapan ini diikuti sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri.

Pada 11 Januari lalu, KPM membenarkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementeriannya bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM membuat ketetapan berikut:

1. Sekolah asrama penuh

Tingkatan empat dan lima:
– Boleh kekal di asrama dan ikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan ikuti PdPR. Ibu bapa boleh mengambil anak mengikut kesesuaian.

Tingkatan lima (2020) dan enam
– Mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah hingga selesai peperiksaan.

2. Asrama sekolah harian

Tingkatan satu, empat dan lima
– Boleh kekal di asrama dan ikuti PdP atau pulang ke rumah ikuti PdPR, ibu bapa dibenar mengambil anak.

Tingkatan lima (2020) dan enam
– Ikuti PdP secara bersemuka di sekolah hingga selesai peperiksaan.

3. Keperluan makan dan minum murid di asrama disediakan pihak sekolah.

4. Semua guru perlu kembali ke tempat bertugas sebelum 20 Januari.

5. Pelajar Kolej Matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing dan ikuti pembelajaran secara hibrid.

6. Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal di asrama sementara belum mendaftar boleh memilih untuk kekal di rumah masing-masing.

7. Tadika swasta di bawah KPM boleh terus beroperasi.

 


Pengarang :