Keadaan terkini di bandar Temerloh memperlihatkan air semakin surut namun penduduk setempat masih memerlukan bantuan bot sebagai sumber pengangkutan utama ketika tinjauan banjir di sekitar negeri Pahang pada 10 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya tangga batu terselamat selepas rumah hanyut

KUANTAN, 10 JAN: Lima anak tangga batu berwarna merah bata dan hijau menjadi satu-satunya peninggalan kesan banjir selepas rumah pusaka keluarga seorang pekerja swasta Abdul Daud Muntil di Kampung Ajai, Dong, Raub dihanyutkan arus deras.

Abdul Daud, 56, berkata rumah dua bilik yang diperbuat daripada kayu itu dihanyutkan arus deras kira-kira tiga meter daripada tapak asal sebelum ‘tersangkut’ di antara pokok buah-buahan yang ditanam di perkarangan belakang.

Beliau yang menetap di Puncak Alam, Selangor berkata rumah pusaka yang menjadi tempat berkumpul mereka lima beradik pada hujung minggu dan hari raya boleh dianggap sebagai total lost kerana semua peralatan di dalamnya rosak serta disaluti lumpur tebal.

“Keadaan dalam rumah seperti kapal karam. Perabot, peti sejuk, mesin basuh dan peralatan lain semuanya berselerak dan ada yang terbalik. Tiada satu pun yang boleh digunakan lagi. Sebak juga lihat rumah peninggalan orang tua jadi begitu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Abdul Daud, banjir melanda ketika beliau bersama-sama dua anak lelakinya menghabiskan cuti akhir tahun di rumah berkenaan dan hujan berterusan sejak Sabtu menyebabkan halaman rumah mula dinaiki air pada sebelah petang.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Abdul Daud menyangka banjir tidak akan melepasi paras rumah, namun sangkaan itu meleset apabila mereka tiga beranak terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Pia susulan air naik mendadak.

“Pada 9 malam Ahad, jiran yang masih berada di rumah kerana menunggu bot penyelamat menelefon memberitahu melihat rumah saya bergerak sebelum panggilan terputus. Saya cuba menghubunginya lagi namun gagal.

“Saya berjumpanya di pusat pemindahan pada tengah malam dan perkara pertama diberitahu ialah rumah saya hanyut bersama sebuah lagi rumah dalam kampung yang sama. Saya tergamam juga memikirkan betapa kuatnya arus banjir kali ini,” katanya.

Abdul Daud berkata buat masa ini, dia bersama-sama adiknya Abdul Raof, 50, yang tinggal berhampiran rumah pusaka itu sedang membersihkan sisa banjir dan mereka bercadang untuk membina pondok sementara sebelum berpakat dengan adik-beradik lain bagi membina rumah baharu di tapak sama.

Katanya, kerja pembersihan dijangka mengambil masa agak lama kerana selain perabot untuk dibuang, mereka perlu berhati-hati bergerak dalam rumah yang ‘senget’ kerana bimbang ia runtuh.

– BERNAMA


Pengarang :