Orang ramai terutama penduduk Selangor melakukan saringan Covid-19 secara pandu lalu ketika tinjauan di sebuah klinik swasta di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Hari ketiga Petaling catat lebih 1,000 kes Covid-19

SHAH ALAM, 31 JAN: Petaling merekodkan jangkitan Covid-19 melebihi 1,000 kes tiga hari berturut-turut dengan catatan 1,021 kes hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu melibatkan 411 di mukim Damansara, mukim Petaling (402), mukim Sungai Buloh (161) dan mukim Bukit Raja (46).

Agensi berkata Klang menjadi daerah kedua tertinggi wabak iaitu 572 kes yang mana mukim Klang (396) dan mukim Kapar (176). Seterusnya Hulu Langat dengan 569 kes melibatkan mukim Kajang (332), mukim Ampang (98), mukim Cheras (68), mukim Semenyih (47), mukim Hulu Langat (17) dan mukim Beranang (tujuh).

“Di Gombak terdapat 129 kes, 93 di mukim Batu, mukim Kuang dan mukim Rawang (12), mukim Setapak dan mukim Hulu Kelang (enam). Sebanyak 87 jangkitan dikesan di Kuala Langat dengan 44 di mukim Telok Panglima Garang, mukim Tanjung 12 (36), mukim Batu (lima) dan mukim Jugra (dua).

“Kuala Selangor mencatatkan 36 kes dengan 24 di mukim Ijok. Mukim Jeram (enam), mukim Bestari Jaya (empat) dan mukim Hujung Permatang (satu),” katanya menerusi Facebook hari ini.

JKNS berkata sebanyak 21 kes dilaporkan di Sepang dengan 20 di mukim Dengkil dan satu kes di mukim Labu.

“Hulu Selangor catat empat kes yang semuanya di mukim Serendah manakala dua kes di mukim Sabak Bernam, masing-masing di mukim Pancang Bedena dan mukim Sabak,” katanya.

Selangor mencatatkan penurunan jangkitan Covid-19 hari ini dengan 2,460 kes. Petaling merekodkan 1,654 kes semalam dan 1,530 kes pada Jumaat.


Pengarang :