AGENDAEKONOMINASIONAL

Hartanah tidak terjual terus meningkat pada 2021

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Jumlah hartanah tidak terjual dijangka terus meningkat pada 2021 berdasarkan tingkat pendapatan, lokasi dan harga, demikian menurut Rahim & Co International Sdn Bhd.

Pengarah Penyelidikannya Sulaiman Saheh yang merujuk Kajian Semula Pasaran Hartanah Rahim & Co 2020/2021 mendapati tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan bilangan tertinggi hartanah tidak terjual iaitu masing-masing berjumlah 33,000 unit, 8,700 unit dan 7,800 unit.

Perak dan Pulau Pinang turut mencatatkan bilangan yang tinggi iaitu masing-masing berjumlah kira-kira 4,000.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan laporan itu hari ini, Sulaiman berkata hartanah dalam bandar atau kawasan bandar akan menyaksikan permintaan yang kukuh dan jumlah hartanah tidak terjual dijangka berkurangan sekiranya harga diselaraskan.

“Apa yang kita lihat pada masa ini ialah pemaju memberi lebih banyak diskaun pada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang akan berakhir pada 31 Mei.

“Secara keseluruhannya, kami masih berpandangan, jumlah tidak terjual tidak mungkin berkurangan atau menyusut dengan ketara pada 2021; ia mungkin stabil namun diunjurkan kekal tinggi bukan sahaja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Hartanah Rahim & Co Siva Shanker berkata, ketersediaan vaksin Covid-19 dan sentimen yang lebih baik pada 2021 akan membantu mengurangkan lambakan itu.

“Saya bersetuju dengan Sulaiman yang memaklumkan (hartanah) tidak terjual itu tidak banyak berkurang, kita mempunyai terlalu banyak yang tidak terjual, namun, kita boleh mengandaikan pasaran hartanah akan pulih dan diharap mencatatkan sedikit kenaikan didorong oleh kejayaan program vaksin dan sentimen yang meningkat kembali,” katanya.

Berdasarkan laporan itu, unit kediaman tidak terjual adalah semakin meningkat (termasuk kategori pangsapuri perkhidmatan dan SOHO yang mencecah 55,415 unit bernilai RM39.69 bilion).

Bagi menyelesaikan masalah berkenaan, Pengarah Rahim & Co bagi pejabat Petaling Jaya Choy Yue Kwong menyarankan pelaksanaan kajian terperinci mengenai punca lambakan ini.

“Menambahkan lagi kekompleksan terhadap unit siap-belum terjual ini adalah penambahbaikan yang dilihat ke atas unit tidak terjual yang masih dalam pembinaan atau belum dibina.

“Sebahagian daripada penyelesaian itu termasuklah keputusan yang lebih tepat mengenai perancangan dan kelulusan projek menerusi kajian pasaran bebas serta sistem data yang kukuh dan telus bagi pasaran itu,” katanya.

Terdahulu ketika sesi pembentangan, Sulaiman berkata secara keseluruhannya, 2020 merupakan tahun penyesuaian semula dan penggunaan teknologi yang dipercepatkan dan adalah ujian ketika rakyat dilanda kebimbangan terhadap pandemik global dan keadaan ekonomi tidak menentu yang dicerminkan oleh penurunan kadar pertumbuhan dan pengangguran yang meningkat.

“Bagaimanapun, daya tahan dan keazaman yang positif kekal antara aspek lebih utama dan ketika adanya bantuan daripada sekatan ini, wujud permintaan sebagai membuktikan masih ada pasaran di sebalik sekatan pergerakan dan tatacara operasi piawai,” katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan semula kes dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan, adalah tidak mengejutkan sekiranya pemulihan yang selanjutnya akan tertangguh sehingga 2022.

Selain pandemik, beliau berkata masalah sedia ada seperti ketidakmampuan, lebihan bekalan dan tahap pendapatan sehingga kos sara hidup masih wujud dan perlu ditangani dengan berkesan dan holistik untuk memastikan kelestarian jangka panjang pasaran hartanah negara.

– BERNAMA

 


Pengarang :