Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat tahun baharu 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada 21 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ikut norma baharu, perkasa agenda pendigitalan dalam tadbir urus

SHAH ALAM, 21 JAN: Semua agensi Kerajaan Selangor digesa terus memperkasa agenda pendigitalan dalam tadbir urus bagi mencapai visi negeri pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu seiring keperluan norma baharu yang menuntut peralihan kepada dalam talian.

“Sudah pasti ia bukan perkara mudah tetapi kita sudah melambangkan idea ini sejak 2016. Mungkin ia perkara asing namun kita perlu biasakan.

“Jika gagal, kita akan tertinggal dan tidak berupaya mendepani cabaran baharu,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2021 hari ini.

Amirudin berkata Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) giat berusaha mengubah gerak kerja pentadbiran agensi negeri bagi menjayakan hasrat tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta antara 2016 hingga 2018 dan meningkat lebih lima kali ganda tahun lalu untuk proses pendigitalan.

“Belanjawan 2021 pula kita peruntuk RM369 juta bagi menjayakan agenda itu kerana pandemik Covid-19 menuntut kita untuk berubah yang disebut sebagai norma baharu,” katanya.


Pengarang :