BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Imbauan 2020: Dugaan menerpa tanpa diduga

Tiga dekad lalu, tahun 2020 sepatutnya menjanjikan harapan. Anak-anak sekolah membayangkan bangunan canggih dalam kota serba maju, malah ada yang mengkhayalkan kereta terbang!

Namun Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran sahaja. Kita rupa-rupanya berdepan cabaran lain, bukan hanya sembilan, yang tidak mampu digariskan ketika kerajaan merangka pandangan kedepan itu pada 1991. Sayangnya, manusia bukanlah nujum yang berupaya mengintai ufuk masa.

Tahun 2020 bermula dengan krisis besar di peringkat dunia dan nasional. Seminggu dua sebelum 2019 berakhir, wabak Covid-19 muncul di Wuhan, China. Walau kelihatan kecil pada awalnya, virus ini sudah mengorbankan lebih 1.7 juta orang hingga saat ini.

Lebih 80 juta orang dijangkiti, penyakit ini memaksa banyak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah berkurung. Kebebasan terkepung di rumah, sekolah dan sempadan negara ditutup, ekonomi dunia merosot teruk. Ratus juta orang hilang kerja.

Tidak cukup bergelut dengan Covid-19, Malaysia berdepan krisis politik pula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tiba-tiba ditumbangkan dalam langkah pembelotan yang menggegarkan kestabilan. Dengan majoriti tipis, kerajaan Putrajaya bertungkus-lumus mengharungi 2020 untuk mengatasi kemelesetan dan menjaga nyawa.

Bagaimanapun manusia enggan mengaku kalah, kita terus berjuang selagi nyawa dikandung badan. Walau krisis 2020 dianggap seburuk kemelesetan dekad 1930-an, harapan terus subur untuk 2021 apabila vaksin Covid-19 segera ditemui. Ia membungakan harapan baharu.

Selangor dengan pantas merangka program bagi membendung kesan buruk virus. Tiga pakej rangsangannya mendahului negeri lain. Ia membentang pakej pertama RM127.8 juta seawal 20 Mac, dua hari selepas PKP diumumkan di seluruh negara tidak lama selepas dunia mengisytiharkan wabak ini pandemik. Susulan perintah kawalan itu, ekonomi negara merosot 17 peratus pada suku kedua.

Kerajaan Negeri menghulurkan lagi pakej Selangor Prihatin pada April dengan jumlah RM272 juta. Ia memperkenalkan konsep menyeluruh untuk “menyelamatkan nyawa dan pendapatan” dengan pembabitan “seluruh kerajaan, seluruh masyarakat”. Pakej ketiga pula bernilai ekonomi RM55.8 bilion untuk jangka pendek dan panjang.

Semua bantuan dan rangsangan ekonomi daripada kerajaan Selangor berjaya disusun kerana politik negeri ini terus kekal stabil walau PAKATAN tidak lagi menguasai Putrajaya. Dari sini harapan akan terus mekar berkembang.

Atas keyakinan itulah, walau pelbagai dugaan terus menerpa dalam suasana tidak pasti, program 2021 untuk rakyat dirangka dengan kesedaran kita tidak boleh hilang harapan. Belanjawan tahun ini melancarkan tekad itu, Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat.


Pengarang :