Hanya imam dan bilal mengerjakan solat Zohor di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam pada 18 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGAMA BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Imbauan 2020: Ibadah tanpa jemaah

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai versi mulai 18 Mac tidak menghalang rutin ibadah sekalipun suasana jauh berbeza.

Apatah lagi, pembukaan dan penutupan masjid dan surau juga bergantung kepada penularan Covid-19, malah solat berjemaah juga dijalankan dengan jarak 1.5 meter antara jemaah.

Namun, kegiatan keagamaan tidak terhenti walau tidak dilakukan beramai-ramai sebaliknya diamal sendirian atau bersama keluarga di rumah. Ia dijalankan berterusan melalui program yang dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Antaranya, mereka menganjurkan zikir munajat “Rakyat Selangor Berdoa” menerusi media sosial bermula 30 Mac sebelum diteruskan sepanjang tempoh perintah kawalan.

Imam, musollah dan masjid mengalunkan bacaan zikir dan berdoa melalui pembesar suara. Orang ramai turut menyertai bacaan melalui siaran langsung di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah.

Solat Berjemaah

Sejak Mac, ahli jawatankuasa masjid dan imam menjalankan solat berjemaah membabitkan tiga hingga maksimum 12 orang. Begitu juga solat tarawih dan sunat Aidilfitri. Azan juga tetap berkumandang setiap kali masuk waktu, dilaungkan bilal bertugas.

Apabila penularan wabak reda, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 15 Mei berkenan membenarkan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid diraja dan masjid daerah.

Pada 12 Jun, bilangan jemaah solat Jumaat, Subuh, Maghrib dan Isyak ditambah kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa membabitkan 39 masjid terpilih.

Penguat kuasa melakukan sekatan di pintu masuk Masjid Negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berkuat kuasa 19 Jun, jumlah kehadiran jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ditambah kepada 250 orang.

Jumlah jemaah 38 masjid lain juga ditambah daripada 40 orang kepada 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

Bermula 14 Oktober, peningkatan kes positif menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuat kuasa sekali gus kelonggaran aktiviti ditangguh melalui perkenan Sultan Sharafuddin.

Perayaan

Suasana berpuasa juga berbeza kali ini. Sekalipun tanpa amalan pengedaran bubur lambuk atau majlis berbuka puasa bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), suasana Ramadan tetap dirasai.

Sambutan Aidilfitri pada 24 Mei juga lebih sederhana. Dengan kelonggaran rentas negeri sejak pelaksanaan PKP pada Mac, umat Islam berpeluang mengerjakan solat sunat hari raya bersama ahli keluarga di rumah.

Seorang ketua keluarga menggunakan mesin basuh seolah-olah ‘mimbar’ bagi memudahkannya meletakkan teks khutbah.

Gelagat ketua keluarga membaca khutbah raya meriuhkan media sosial sekali gus menghidupkan keceriaan pagi Syawal. Teks itu didapati dari laman sesawang jabatan agama negeri.

Agihan daging turut diagih kepada umat Islam sekalipun ibadah korban sempena Aidiladha pada 31 Julai hanya di masjid sahaja.

Selain itu, upacara nikah dan prosedur mahkamah syariah juga bergantung kepada perkembangan kes Covid-19 tetapi kelonggaran tetap ada. Selain kaedah nikah melalui sidang video manakala akad secara fizikal dengan pematuhan SOP dijalankan apabila jumlah kes turun.

Agihan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula banyak membantu golongan terkesan akibat penularan wabak sejak fasa awal PKP.

Bantuan khas zakat Covid-19 berjumlah RM500 seorang diberi kepada 9,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf selain sumbangan kepada 20,000 penjaja dan peniaga kecil serta keluarga B40.

Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemu bual pekerja Malindo Airways Sdn Bhd yang terjejas akibat Covid-19 di pejabat syarikat itu di Ara Damansara pada 22 Disember 2020. Foto Facebook LZS

LZS turut mengagih bantuan khas RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Sebanyak RM43.31 juta juga diperuntuk bagi membantu asnaf sepanjang PKPB antara 8 Oktober hingga 18 November. Bantuan itu berbentuk kewangan dan makanan, perubatan, dialisis, sewa rumah dan keperluan hidup.

LZS turut menyantuni pekerja Malindo Airways Sdn Bhd dan Syarikat I&P Group Sdn Bhd yang terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan.

Selain itu, kebakaran asrama perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat, Jalan Istana Lama, Kampung Bandar Banting pada 4 Ogos mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar


Pengarang :