PENDAPATRENCANA

Imbauan 2020: Politik bergelora, Selangor teguh

Politik tanah air bergelora sepanjang tahun sejak kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) ditumbangkan di Putrajaya melalui langkah pembelotan sejumlah wakil rakyat hingga hilang majoriti.

Sempat mentadbir 22 bulan selepas melakar sejarah menewaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum pada Mei 2018, gabungan itu tumbang pada Februari apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meninggalkan PAKATAN.

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan pada 24 Februari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik beliau sebagai perdana menteri sementara.

Setelah mendapat keterangan semua ahli parlimen, baginda kemudian memperkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan pada 29 Februari dan mengangkat sumpah pada 1 Mac.

Penguasaan PAKATAN peringkat negeri mulai hilang satu persatu, bermula Johor pada 27 Februari, Melaka (2 Mac), Perak (8 Mac) dan Kedah (12 Mei). Sekutu gabungan itu, Parti Warisan Sabah pula tewas dalam pilihan raya negeri pada 26 September.

Namun gabungan baharu Perikatan Nasional yang melibatkan Umno dan PAS terus bergolak yang akhirnya menyaksikan pertukaran menteri besar Perak pada 10 Disember. Tindakan ini dipercayai sebagai tindak balas Umno terhadap Bersatu yang kini menguasai Sabah.

Negeri Stabil

Sungguhpun suasana politik tanah air kacau bilau, Kerajaan Selangor kekal stabil, bahkan bertambah utuh melalui ikatan kuat antara wakil rakyat.

Kestabilan ini selari titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Mac yang mahukan negeri ini terpelihara daripada sebarang pergeseran politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merombak barisan EXCO pada Oktober susulan empat wakil rakyat KEADILAN meninggalkan parti itu.

Namun, kepemimpinan negeri tidak terjejas. Lebih-lebih lagi empat wakil rakyat Bersatu iaitu Kuang, Batang Kali, Dengkil dan Jeram mengikrarkan sokongan kepada Amirudin pada 5 Mac.
PRK ditangguh

Ekoran gejala wabak Covid-19 yang semakin membarah, Yang di-Pertuan Agong pada 18 November bersetuju mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi menghalang PRK dari diadakan.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berbuat demikian selepas berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin.

Awalnya dijadual akan diadakan pada 5 Disember, kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober akibat jangkitan paru-paru.

Selain Batu Sapi, dua lagi PRK yang terpaksa ditunda ekoran pandemik tersebut ialah di Parlimen Gerik dan satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Gagal Tolak Belanjawan

Dalam pada itu, usaha pembangkang menghalang Belanjawan 2021 menemui jalan buntu selepas gagal menolaknya pada 15 Disember lalu.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan Pakatan memperoleh 108, berbanding 111 ahli Parlimen yang bersetuju, manakala seorang lagi tidak hadir. Dua lagi kerusi kosong.

Sebelum itu, pimpinan Pakatan termasuk dari Umno mengkritik belanjawan kerana mencadangkan untuk memberi peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ketika rakyat dihimpit krisis kesihatan.

Kes Salah Laku Profil Tinggi

Beberapa kes pendakwaan melibatkan pemimpin tertingga parti politik yang disabitkan dengan pelbagai salah laku antaranya:

■ Datuk Seri Najib Razak
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai memutuskan bekas perdana menteri bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd,

■ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Bekas timbalan perdana menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Ogos atas 12 pertuduhan pindaaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan membabitkan wang RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.

■ Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Bekas menteri Wilayah Persekutuan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Disember atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan
Ahli Parlimen Putrajaya didapati melakukan kesalahan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

■ Datuk Seri Ahmad Maslan
Bekas timbalan menteri kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Januari atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Najib.

■ Tan Sri Musa Aman
Pada 9 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas ketua menteri Sabah daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kontrak konsesi balak.

Musa menghadapi 30 pertuduhan kes sebagai ejen kerajaan Sabah memperoleh suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$63.3 (RM264 juta). Beliau turut menghadapi 16 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram daripada beberapa individu.

■ Low Taek Jho
Jutawan kontroversi itu yang dikenali sebagai Jho Low sehingga sekarang masih tidak ditemui, malah dalam temu ramah melalui telefon dengan Al-Jazeera pada 17 November menafikan dirinya melakukan sebarang kesalahan berkaitan dana 1MDB.

■ Riza Shahriz Abdul Aziz
Pada 14 Mei, anak tiri Najib, Riza Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

■ Lim Guan Eng
Setiausaha agung DAP didakwa pada 7 Ogos kerana didakwa meminta suapan bagi dirinya iaitu balasan 10 peratus daripada keuntungan dari Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 September, atas tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan kes yang sama.

 


Pengarang :