Urusan jual beli dilakukan secara pandu lalu di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Imbauan 2020: Wabak gugat ekonomi

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai versi sejak 18 Mac meruncingkan lagi situasi ekonomi negara.

Kesan paling ketara tertera dalam industri penerbangan dan pelancongan yang hampir lumpuh mengakibatkan ramai kakitangan diberhenti kerja atau diberi cuti tanpa gaji.

Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung dampak Covid-19, seramai 52.6 peratus daripada 168,182 responden menyatakan aspek kewangan mereka sangat terkesan.

Sebanyak 46.6 peratus yang bekerja sendiri pula kehilangan sumber pendapatan terutama mereka dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan pelancongan.

Atas keprihatinan rakyat Selangor yang terkesan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac yang menggariskan tujuh inisiatif utama antaranya bantuan kepada penjaja dan peniaga berlesen.

Seramai 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis diberi pengecualian sewa bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama selain pemberian khas sekali bayar RM500 bagi melancarkan aliran tunai dengan jumlah keseluruhan RM52 juta.

Pengumuman itu lanjutan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion oleh mantan Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu.

Amirudin turut mengumumkan penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada 40,000 peminjam Hijrah membabitkan RM70 juta.

Turut diluluskan, penangguhan bayaran sewa tiga bulan ansuran untuk 2,700 peserta Skim Smart Sewa membabitkan RM600,000.

Selain itu, Pasar Agro Selangor dibuka di sembilan lokasi bermula 27 Mac lalu pada harga lebih rendah bagi membantu 300,000 penduduk dengan peruntukan RM1 juta. Ia bertujuan mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual.

Pakej bantuan

Pada 1 April, Amirudin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin 2.0 berjumlah RM272.5 juta membabitkan 17 inisiatif tambahan termasuk potongan gaji Dato’ Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.

Amirudin turut mengumumkan 5,000 petani dan nelayan diberi bantuan khusus berjumlah RM500,000 termasuk 2,000 daripada mereka dibantu melalui pengagihan benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta.

Penggiat industri pelancongan juga tidak dipinggirkan apabila Kerajaan Negeri menyalur insentif khas RM1,000 sekali bayar kepada 486 pemandu pelancong berlesen, 16 pengusaha inap desa dan 51 Hos Komuniti Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin menjadi pelengkap kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bernilai RM250 bilion kerana elemen ditawarkan Selangor bertujuan menampung keperluan semasa.

Pada 22 Jun pula, Kerajaan Selangor melaksanakan inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan di bawah sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq.

Melalui pelan pemulihan ekonomi Selangor yang diumumkan 13 Julai, Kerajaan Negeri menekankan tiga tonggak utama bagi menangani Covid-19.

Tiga tonggak itu adalah aspek jaminan bekalan makanan membabitkan inisiatif Agrodata Selangor, Jaminan Bekalan Makanan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Selangor Digital E-Supply Chain (Seldec).

Tonggak kedua kemampanan ekonomi yang memberi tumpuan merancakkan lagi pembangunan hartanah, memastikan pengurusan infrastruktur dan perkhidmatan air yang efisien dan mengekalkan keseimbangan dalam aliran tunai Kerajaan Negeri.

Tonggak ketiga iaitu pembangunan keupayaan akan memberi penekanan dengan memacu pertumbuhan industri aeroangkasa sebagai industri bernilai tinggi dengan koordinasi tenaga kerja terdiri dalam kalangan rakyat Selangor.

Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Di samping itu, program Jelajah Selangor Bekerja 2020 menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September dan 111 individu berjaya mendapat pekerjaan.

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter dan operator panggilan membabitkan penyertaan 105 majikan di lima lokasi penganjuran dengan temu duga dijalankan secara maya.

Nyatalah, dalam mengharungi norma baharu kehidupan, ramai yang keluar daripada keselesaan sedia ada untuk bangkit menghadapi gelombang ekonomi kesan Covid-19 yang hingga kini belum ditemukan titik penghujungnya.


Pengarang :