Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020. Grafik Sumber: Transparency International-Malaysia
AGENDANASIONAL

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2020 jatuh ke tangga 57

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

“Kita mungkin jatuh dua mata yang secara statistiknya tidak signifikan, tetapi kita harus bimbang dengan penurunan skor dan kedudukan. Kita perlu pertingkatkan lagi dan saya yakin kita boleh melakukan yang lebih baik daripada negara seperti Rwanda, Poland dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya bagi mengumumkan CPI Malaysia untuk 2020. CPI dikeluarkan oleh Transparency International, sebuah gabungan antirasuah global, hari ini.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih).

Muhammad berkata Denmark dan New Zealand berkongsi tangga pertama dengan 88 mata sebagai ‘negara bersih’ manakala negara yang berada di kedudukan terbawah dengan mencatat skor terendah ialah Syria (14 mata) serta Sudan Selatan dan Somalia masing-masing dengan 12 mata.

“Dalam kalangan negara Asean, Singapura berada di tangga teratas diikuti Brunei (ke-35) dan Malaysia (ke-57). Satu-satunya negara dari Asia yang berada di kedudukan 10 teratas ialah Singapura,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :