Petugas Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita kilang melebur kuprum di Jalan Zurah 1, Perindustrian Zurah, Hulu Selangor pada 31 Disember 2020. Foto Facebook Korporatmdhsofficial
PBTSELANGOR

Ingkar notis penutupan, MDHS tutup kilang lebur kuprum

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebuah kilang yang melakukan proses melebur kuprum tanpa kelulusan di Jalan Zurah 1, Perindustrian Zurah, Hulu Selangor ditutup dalam operasi dijalankan pada 31 Disember lepas.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata operasi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis dijalankan selepas premis tersebut melanggar syarat notis penutupan bertarikh 27 November iaitu memecahkan mangga dan rantai serta melakukan proses melebur tanpa kelulusan.

“Semasa siasatan di dalam premis dijalankan, didapati peralatan dalam keadaan panas serta terdapat bahan mentah untuk diproses,” katanya menerusi kenyataan semalam.

MDHS berkata ketua pegawai eksekutif syarikat dan wakil premis dipanggil untuk hadir ke premis untuk perbicangan ringkas.

“Notis penutupan dilakukan di bawah Undang-undang Kecil 43(1)(a) dan (b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007 selama 14 hari berkuat kuasa 31 Disember hingga 13 Januari.

“Pemantauan berkala akan dilaksanakan bagi memastikan premis tidak beroperasi. Pihak kami turut meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Selangor memotong bekalan,” katanya.


Pengarang :