AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Inisiatif Belanjawan Selangor 2021 disegera, pacu ekonomi rakyat

SHAH ALAM, 20 JAN: Beberapa inisiatif Belanjawan Selangor 2021 disegerakan bagi memacu perkembangan ekonomi dan membantu rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata antara strategi utama belanjawan meliputi program pendigitalan dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat.

“Pelaksanaan PKP bermula 13 Januari menuntut beberapa inisiatif ini dipercepatkan atas keperluan membantu peniaga kecil, usahawan, penjaja yang terjejas dan memacu agenda pendigitalan Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Antara inisiatif yang disegerakan ialah:

Selangor e-Dapur

-Dilaksanakan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dalam masa terdekat bagi membantu 1,000 penjaja kecil makanan dan minuman untuk berniaga secara dalam talian dengan peruntukan RM10 juta
– Peserta yang memohon akan mendapat skim pinjaman mikrokredit untuk menampung kos operasi dan mengadaptasi perniagaan ke platform e-dagang

e-Pembekalan Peruncit dan Mikro

– Bantu 1,000 peruncit kecil dan mikro mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah, mudah serta cepat melalui platform digital yang diuruskan Hijrah dengan peruntukan RM5 juta

Selangor Freelance

– RM10 juta diperuntuk dengan anggaran lebih 1,000 peluang pekerjaan melalui ekonomi gig menerusi kerjasama beberapa platform pekerja bebas
– Pekerjaan gig melibatkan kerja-kerja kolar biru dan kemahiran tinggi seperti perkhidmatan pemasaran digital, perakaunan, pengatur-caraan serta pengurusan akaun media sosial

Rakan Digital Selangor

– RM3 juta diperuntuk dengan pelantikan 1,000 individu untuk membimbing rakyat menggunakan aplikasi digital khasnya golongan peniaga, warga emas dan mahasiswa

Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI)

– Diperluaskan untuk usahawan wanita dengan peruntukan awalan RM10 juta
– 3,000 peserta boleh terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan mendapat pelan pinjaman minimum RM1,000 serta RM3,000 maksimum
– Dana boleh dipohon tanpa perlu mempunyai premis dan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Bilik Gerakan Covid-19 

– Mula beroperasi di Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) secara 24 jam sehari
– Berperanan merencana pengurusan bantuan, menyokong pengurusan operasi kawalan bersama agensi persekutuan termasuk pemantauan berpusat kes Covid-19 secara waktu nyata
– Dilengkapi jaringan internet 3 Gbps, pusat data hybrid, sistem komunikasi berpusat dan Smart Data Platform


Pengarang :